Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi KPT, Prof Datuk Dr Husaini Omar, berkata kementerian juga telah memperluaskan peluang pendidikan dengan mewujudkan laluan khas kepada golongan B40, OKU, Orang Asli dan atlet untuk melanjutkan pengajian ke IPTA dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) diperingkat sijil, diploma, asasi dan ijazah sarjana muda.
"Golongan ini hanya perlu melepasi syarat am dan syarat khas program seperti ditetapkan oleh universiti yang dipilih," katanya dalam kenyataan bagi menjawab dakwaan bahawa seorang calon OKU telah dinafikan peluang untuk mengambil kursus yang dipohon melalui saluran UPU Online.
Husaini berkata, semakan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) mendapati pemohon itu adalah calon daripada Kategori B iaitu lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) 2019 dan memohon ke Program ASASI pintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sesi akademik 2021/2022.
"Calon itu tidak melepasi syarat kelayakan minimum kemasukan program itu. Syarat minimum kemasukan ke program ASASI pintar UKM memerlukan calon mendapat 7A- dalam subjek tertentu termasuklah Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.
"Bagaimanapun, calon ini masih lagi dibenarkan membut kemaskini yang masih dibuka hingga 2 Julai 2021," katanya yang turut memaklumkan bahawa calon itu sebelum ini telah menolak program Diploma Teknologi Makmal Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi sesi akademik 2020/2021.
Husaini berkata usaha meningkatkan akses bagi B40, OKU, Orang Asli dan atlet untuk memastikan ekuiti diperingkat pengajian tinggi dengan memberi peluan kepada setiap pelajar mencapai potensi diri sepenuhnya. Peluang tanpa mengira lokasi, bangsa, jantina atau latarbelakang sosio-ekonomi seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia - Pendidikan Tinggi.
Semua data berkaitan laluan khas untuk golongan berkenaan adalah dengan kerjasama strategik pelbagai pihak bagi perkongsian data iaitu dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk data OKU dan Jabatan Pendaftaran Negara untuk Orang Asli.
Selain itu, Bahagian Sukan Kokurikulum Dan Kesenian, KPT untuk data atlet sukan dan seterusnya data e-KASIH dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri untuk data B40. KPT melalui Bahagian Kemasukan Pelajar (BKPA) menyokong sepenuhnya Teras Strategik 3 (Meningkatkan akses OKU kepada Pendidikan) yang telah digariskan dalam Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya (PTOKU) 2016-2022.
"Pemohon OKU yang berdaftar dengan JKM yang mengemukakan permohonan melalui UPUOnline akan dipertimbangkan bagi kemasukan tanpa merit tertakluk memenuhi syarat am dan minimum syarat khas yang ditetapkan mengikut program pengajian yang dipohon," katanya.
Husaini berkata, penawaran program kepada golongan OKU ini adalah melalui persetujuan bersama agensi atau institusi dengan mengambil kira kesediaan prasarana mesra OKU institusi itu sendiri.
Katanya, ia bagi memastikan golongan OKU dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan selesa dan penawaran program pengajian juga perlu mengambilkira pencapaian akademik pelajar.
SUMBER BERNAMA 23 Julai 2021
No comments:
Post a Comment